Header Ads

‘Ada Baju Pakai, Koyak Sikit, Kita Jahit’ – Mr. Wong




Bersekolah cara melayu.

Semalam saya bercuti urus persekolah tiga anak; 1 sekolah menengah dan 2 sekolah rendah. bagi sekolah rendah, saya sudah boleh berlepas tangan kerana semua telah diurus awal dan mereka kembali ke sekolah lama tanpa perlu orientasi.


Memandangkan anak teruna saya di sesi petang, saya mengambil peluang mengintai gelagat anak-anak perempuan saya memasuki kelas baharu. mengintai gelagat anak, bukan mengintai guru wanita bujang yang cantik. harap tidak salah tafsir.

Sudah tabiat orang HR, saya suka memerhati gelagat anak-anak dan ibu bapa. macam-macam ragam. saya terkesan apabila melihat adanya pelajar yang tidak berpakaian seragam baharu.

Tidak! saya tidak menghina mereka yang tidak berpakaian seragam baharu pada hari pertama persekolahan. semua orang ada pegangan dan kekangan.


Keadaan baju sekolah yang dipakai Farid.

Taya sebut sebab di dua sekolah rendah anak-anak saya, hampir 95% berpakaian baharu. jadi apabila ada anak-anak yang tidak berseragam baharu, ianya nampak menonjol dan ada juga ibu bapa yang menjeling dan mengata. pada saya, anda tidak berada di dalam kasut mereka, jadi diam lebih baik jika tidak dapat membantu meringankannya.

Di sekolah kebangsaan dan sekolah agama yang hampir 100% murid melayu, mmm… ada beberapa kerat murid india, rata-rata ibu bapa saya yakin pemikiran mereka seperti saya, wajib beri anak-anak pakaian seragam baharu supaya anak seronok bersekolah. heh! sebenarnya malu dilihat miskin jika tidak berpakaian baharu. hahaha.

Berbeza di sekolah menengah anak saya, ia campuran semua bangsa. dan semua pelajar lelaki. itu sekolah pilihan dia dan rakan karibnya, saya tidak membantah. semasa orientasi minggu lepas dan hari pertama semalam, saya perhatikan majoriti pelajar melayu dan india berseragam baharu, sedangkan majoriti pelajar cina berseragam lama.

Untuk menyelidik, saya berbual dengan beberapa bapa pelajar cina yang saya temui, yang majoritinya bersama anak sepanjang orientasi.

ya, rata-rata pelajar cina yang berseragam baharu adalah pelajar yang tidak perlu memasuki kelas peralihan. jika mereka sudah belajar di sekolah tersebut di kelas peralihan, mereka akan berpakaian seragam lama, yang agak lusuh. faham sahajalah pelajar lelaki di sekolah semua lelaki, tidak perlu kacak sangat kerana tiada gadis untuk dipikat. kalau kacak sangat dan digilai lelaki lain, Nabi tak mengaku umat woo…

Petang itu saya berbual dengan jiran cina saya. saya bertanya mengenai sifat ibu bapa cina mengenai seragam baharu di hari pertama persekolahan. dia ketawa. katanya;

“Kalau itu orang betul-betul cina, dia tak kisah baju baru, kasut baru ke apa. tua sama, budak sekolahpun sama!. ada baju boleh pakai, pakai!. sikit-sikit koyak, kasi jahit lo… kalau sudah banyak rosak, mesti beli lah”.

“Kita cina ingat ada duit mesti simpan untuk ‘education’ anak masuk universiti. you melayu ada untung, ‘goverment’ tolong banyak. ada macam-macam universiti, kolej, lagi ‘training center’ melayu… itu mara. kita cina mana ada”.


“Itu pasai kita cina biasa anak tak banyak, dua tiga orang cukup. satu anak, kita mesti mau simpan kurang-kurang rm100,000 kalau mau ingat dia pergi universiti. so, dua anak sudah berapa?”.

“You tengok rumah, kita cina biasa duduk ramai-ramai, apa pasai?.”, soalnya. saya gelengkan kepala. benar-benar tidak tahu.

“Kita mau jimat. saya punya rumah, 3 family duduk. memang tak syiok! tapi kita sudah fikir mesti mau simpan duit untuk education anak. lagi simpan untuk mati. you tau lah, cina mati banyak mau pakai wang. tak ada rm10,000 jangan mati loo…”. katanya sambil ketawa. sayapun turut ketawa.

“Jadi aa…. ini baju sekolah baru, cina tak ada kisah. saya punya anak, last sekolah…. semua baju, seluar, skirt, kasut, semua kasi basuh bersih-bersih. kasi simpan, sekolah buka, pakai lagi. itu wang beli baru kita boleh jimat kurang-kurang rm300.”

“Jadi saya boleh cakap, cina tak malu pakai baju lama pergi sekolah. saya ramai kawan melayu, saya tau dia mesti beli baju sekolah baru, mau jaga muka”.

“Anak pergi sekolah pakai baju lama, satu dua hari, may be dia malu, ada kawan tegur. masuk dua minggu, mana ada orang lagi peduli. tahun depan you try jangan beli baju baru tengok, ada berani?”, katanya sambil mencabar saya. saya cuma senyum.

Malam itu sebelum tidur saya termenung dengan cabaran mr wong, jiran cina saya itu. ya, kata-katanya benar dan menjimatkan jika dituruti. seperti ibu bapa melayu lain, jenuh saya bergolok bergadai nak cukupkan belanja sekolah anak-anak saya untuk penggal baharu persekolah ini. bagi ibu bapa melayu seperti saya, seragam anak-anak perlu baharu agar tidak dipandang miskin. biar papa asal bergaya kata orang.

Hari inipun saya masih terkenang kata-kata dan cabaran mr wong itu. tetapi entahlah jika ia masih berbekas sehingga hujung tahun. melayu macam saya ini biasanya hangat-hangat tahi ayam sahaja. lagipun saya ini melayu, dan melayu mudah lupa.




No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.