Header Ads

Jangan Lupa Orang Tua Pintu Rezeki Kita




ZAMAN sekarang, semua barang mahal. Minyak mahal, kereta pun mahal, sewa rumah mahal, makanan pun mahal. Kos sara hidup zaman sekarang berbeza dengan zaman dahulu.

Meskipun terhimpit dengan bebanan hidup masih ramai yang lupa, alpa bahawa rezeki itu datangnya dari ALLAH.

Sesukar mana pun kehidupan, DIA berkuasa mengubah segalanya hanya dalam sekelip mata.

Pertemuan dengan Rina (bukan nama sebenar) membuka mata penulis bahawa luasnya pintu rezeki ALLAH, dan betapa mudah sebenarnya untuk memperoleh rezeki dengan keizinanNYA.

“Ramai yang tidak tahu tentang empat rahsia pintu rezeki oleh ALLAH, antaranya adalah orang tua kita. Orang tua kita adalah pintu rezeki utama dan paling mudah bagi kita untuk memperoleh kesenangan hidup,” katanya ketika membuka cerita yang berkisar kepada pengalaman dirinya sendiri.

Menceritakan serba sedikit mengenai latar belakang peribadi Rina, Rina merupakan anak ketiga dari lima beradik dan berasal dari Perlis.

Menetap di Kuala Lumpur kerana memperoleh peluang pekerjaan di bandar besar, Rina yang kini berusia 25 tahun mengakui jarang pulang menjenguk ibu di kampung.

Baginya, kerjaya yang dibina lebih penting berbanding segala-galanya.

“Dulu, yang lain semua tolak ke tepi. Yang penting, dahulukan kerja dulu. Saya anggap kerja itu penting sebab dengan gajilah saya boleh bayar kereta, hantar duit ke kampung untuk bantu beli ubat dan makanan mak, dan bayar rumah sewa saya.

“Tapi saya lupa, rezeki itu kuasa ALLAH. Sebesar mana pun usaha kita, ia tidak akan membuahkan hasil kalau Dia tidak bagi rezeki,” kata Rina lagi.

Kata Rina, masalah kewangan sentiasa menduduki carta nombor satu dalam kehidupan sehariannya. Wang yang ada tidak pernah cukup untuk menampung hidupnya walaupun dia masih bujang.

“Kurang 10 bulan lagi saya akan mendirikan rumah tangga dan saya tidak ada simpanan untuk berkahwin. Saya sudah tidak sanggup minta tangguh (perkahwinan) kerana sebelum ini kami (Rina dan bakal suami) sudah tunda tarikh perkahwinan kami,” katanya.

Bagaimanapun, segalanya berubah buat Rina apabila ibunya yang pada mulanya hanya mengalami batuk biasa, akhirnya terpaksa dirujukkan ke hospital pakar akibat sesak nafas.

Menurut Rina, sebaik sahaja mendapat perkhabaran tersebut, dia bergegas pulang ke kampung untuk menjenguk ibunya.

“Saya masih ingat lagi, baki dalam akaun Maybank saya hanya ada RM12.60. Wang tunai dalam tangan hanya ada RM150. Duit gaji hanya akan masuk lagi dua minggu. Saya sudah tidak ada duit.. Itulah duit makan dan itulah duit yang saya gunakan untuk mengisi minyak kereta. Tetapi semua itu saya tolak ke tepi, saya balik juga ke kampung untuk menjenguk ibu di hospital.

“Ketua saya benarkan saya bercuti untuk menjaga ibu. Saya lega. Pada hari yang sama, saya pulang ke kampung. Tiba di kampung, saya tidak balik rumah langsung. Niat saya pulang hanya untuk jaga ibu, sepanjang empat hari, siang dan malam saya dihabiskan bersama ibu. Empat malam jugalah saya tidur beralaskan selimut dan tikar nipis,” katanya lagi.

Bercerita lanjut, Rina berkata, walaupun mengalami masalah kewangan, dia tidak pernah meminjam dengan keluarga atau kawan-kawan.

“Saya bukan sombong untuk menadah tangan, tetapi saya risau kalau tidak dapat membayar hutang kawan-kawan. Masalah kewangan hanya dikongsikan bersama ‘encik tunang’. Dialah yang membantu menguruskan kewangan saya.

“… Saya sudah lama tidak habiskan masa bersama ibu sejak saya bekerja. Sudah banyak kali ibu minta saya pulang ke kampung, alasannya cuma satu, dia minta saya temankan dia untuk membeli-belah. Saya tahu dia rindukan kepulangan saya, tetapi saya kerap beralasan. Seringkali saya abaikan dia. Permintaannya tidak saya endahkan. Bila terkenangkan semua itu, saya jadi sedih,” kata Rina kepada penulis.

Menurut Rina, ketibaannya di hospital di sambut dengan senyuman ibu. Walaupun ibunya sakit, digagahkan tenaga tua itu untuk menghabiskan masa berbual panjang dan bergurau dengan Rina.

Malam pertama Rina di hospital, tidurnya hanya beralaskan surat khabar lama dan tikar nipis. Rina tidak banyak merungut. Tidurnya tenang dan boleh dikatakan lebih lena dari sebelumnya.

“Keesokan harinya, saya dihubungi rakan. Dia hubungi saya untuk minta bantuan promosikan perniagaan tudungnya yang baharu sahaja dibuka.

“Dari situlah timbulnya idea untuk lariskan jualan rakan, dan saya hanya ambil komisyen di atas setiap pelanggan yang membuat pembelian melalui saya. Empat hari menjaga ibu, akaun dalam bank saya sudah mencecah lebih RM5,000. Menjelang seminggu, akaun bank saya menunjukkan angka sebanyak RM7,000,” katanya lagi.

Jelas Rina lagi, perniagaan menerusi Online tersebut hanya dilakukan secara sambilan ketika menjaga ibunya di hospital.

“Rezeki saya melimpah-ruah. Malah lebih dari yang dijangkakan. Saya gunakan duit sebaiknya. Saya bawa keluarga ke salah satu lokasi pelancongan terkenal tanah air untuk bercuti bersama (ibunya menurut Rina, sudah sembuh sepenuhnya pada ketika itu), saya beli kelengkapan kahwin dan rumah, selebihnya saya simpan untuk kegunaan pada hari-hari mendatang.

“Sekarang, saya selalu pulang ke kampung. Kalau tak balik ke kampung, saya akan hubungi ibu menerusi telefon dan bertanya khabar. Saya tidak lagi berahsia tentang apa-apa pun dengan ibu. Selalu saya katakan pada ibu, ibulah punca rezeki saya, dan saya akan usaha untuk jaga ibu selagi saya hidup,” katanya lagi.

Rina dalam pada itu turut berpesan kepada masyarakat khususnya golongan belia masa kini.

“Orang zaman sekarang lupa, dan alpa ibu bapa di kampung. Sibuk sangat mengejar harta dunia sehinggakan terlupa bahawa ibu bapa itulah salah satu pintu rezeki kita.

“Jangan derhaka pada ibu. Jangan derhaka pada bapa. Merekalah yang dahulunya bersusah payah membesarkan kita. Sampai masa, kita perlu balas semula jasa mereka. InshaALLAH, ALLAH akan balas semula kebaikan kita pada mereka,” ujar Rina sebelum mengakhiri perbualan kami.

Sementara itu, Dr Mohd Azhar Abdullah, beliau berkata, konsep rezeki adalah satu konsep yang luas, namun setiap manusia perlu berbuat baik dengan ibu bapa masing-masing untuk dipermudahkan perolehan rezeki.

“Kita perlu berbalik kepada konsep asal kejadian kita. Kita datang dari ibu dan ayah dan pemberian (rezeki) paling besar dari ALLAH untuk kita adalah kelahiran kita ke dunia.

“Kita lahir dan membesar daripada pernafasan ibu kita, susuannya dan susah payah ibu kita. Sebab itu ALLAH letakkan syarat untuk kita berbuat baik kepada ibu kita,” katanya kepada Sinar Online.

Jelas Mohd Azhar yang juga Timbalan Ketua Eksekutif Hal Ehwal Pelajar, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), di Kota Bharu, Kelantan berkata, sekiranya kita berbuat baik kepada ibu bapa, ALLAH akan melipatgandakan rezeki yang diperoleh dalam kehidupan kita.

“Semua yang hidup akan memperoleh rezeki dariNYA. Tetapi keberkatan rezeki itu yang penting. Dengan berbuat baik kepada ibu bapa, rezeki lebih mudah diperoleh, rezeki yang kita dapat akan ditambah dan kebahagiaan juga akan diperoleh.

“Saluran paling luas bagi kita untuk memperoleh rezeki adalah dengan memperoleh keredaan ALLAH, dan keredaan ALLAH bergantung kepada keredaan ibu bapa. Pintu rezeki itu akan tertutup sekiranya kita ingkari ibu bapa,” katanya.



No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.