Header Ads

Manjakan Isteri Dengan Wang Ringgit Jadi Punca Utama Rumah Tangganya Musnah




Tidak tertahan menanggung bebanan, akhirnya Rahim melepaskan isterinya Zaleha dengan talak satu. Sememangnya dia tidak sampai hati kerana sayangnya terlalu mendalam kepada wanita yang juga cinta pertamanya itu. Namun tiada siapa yang dapat melawan takdir yang telah tersurat. Dia dengan rela melepaskan Zaleha, walaupun wanita itu sudah merayu untuk kembali dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang sama. Hatinya sudah tertutup rapat untuk menerima semula ibu kepada anak-anaknya.

Selepas berkahwin Rahim cukup memanjakan isterinya. Dia tidak membenarkan isterinya bekerja dek kerana mahu Zaleha memberikan tumpuan sepenuhnya kepada rumah tangga mereka. Kebosanan yang melanda membuatkan Zaleha merayu agar dia memulakan perniagaan online. Pada awalnya Rahim keberatan untuk membenarkan Zaleha berkecimpung dalam perniagaan tersebut kerana Rahim cukup berkemampuan untuk menampung kehidupan isterinya. Tidak mahu melihat isterinya merajuk, akhirnya Rahim terpaksa akur dengan kehendak Zaleha.

Selepas setahun berlalu, perniagaan online jubah dan tudung yang dikendalikan oleh Zaleha bertambah maju. Disebabkan permintaan meningkat Zaleha membuka sebuah outlet. Malah, kini pendapatan Zaleha lebih tinggi daripada suaminya. Walaupun sedang sarat mengandung namun Zaleha tetap gigih mengusahakan perniagaannya. Rahim cukup bangga dengan pencapaian isterinya namun dia kasihan dengan Zaleha yang terpaksa bekerja bertungkus lumus walaupun sedang sarat mengandung anak sulung mereka.

Sebulan kemudian, Zaleha selamat melahirkan anak lelaki yang diberi nama Zakuan. Habis saja berpantang Zaleha tidak mengendahkan Zakuan kerana terlalu memberi tumpuan kepada perniagaannya yang sedang berkembang maju.

Kehadiran orang ketiga
Selepas Zakuan berusia 8 bulan, Zaleha mengandung anak kedua, kali ini ragamnya lain macam dan perubahan tersebut diakui sendiri oleh Rahim. Banyak kali ditegur isterinya kerana sikap Zaleha semakin degil serta sering pulang lewat malam. Sehingga terjadinya pergaduhan.

Namun disebabkan sayang isteri, Rahim berlembut hati, apatah lagi apabila melihat isterinya sedang mengandungkan anak keduanya. Sejak Zakuan dilahirkan, Rahim kecil hati dengan sikap isterinya yang tidak mempedulikan Zakuan. Zaleha lebih pentingkan pelanggan dan tidak langsung memberikan kasih sayang ibu kepada Zakuan. Diserahkan Zakuan kepada pembantu rumah. Nasib baiklah Fatimah seorang yang cukup penyayang dan menjaga Zakuan seperti anaknya sendiri.

Lahir sahaja anak kedua mereka, Zarrah, sikap Zaleha berubah sekelip mata. Dari seorang wanita yang penyayang berubah menjadi panas baran. Selepas Zarrah berusia lima bulan, Zaleha hanya pulang ke rumah pada waktu malam. Alasan yang diberikan cukup senang, iaitu terlalu sibuk.

“Kenapa ni awak seperti sudah tidak ingat pada rumah tangga? Mana tanggungjawab awak sebagai seorang ibu? Awak tahu tak Fatimah yang jaga anak-anak kita. Awak keluar pagi dan pulang tengah malam,” jerit Rahim kepada isterinya.

“Saya sibuk. Uruskan perniagaan. Sekarang ni perniagaan saya sudah untung beratus ribu. Awak tak perlu halang saya sebab saya yang mulakan perniagaan ini dan saya juga yang akan memastikan perniagaan saya ini akan bertaraf antarabangsa. Saya boleh pulangkan semula modal yang abang bagi, bukannya banyak, RM3,000 saja kan,” jerkah Zaleha semula kepada suaminya.

Rahim cuma mampu menggeleng. Semakin hari Rahim tidak mampu melarang Zaleha. Paling sukar dilupakan apabila Zaleha tidak pulang ke rumah seharian. Keesokan paginya barulah Zaleha pulang.

“Awak ke mana? Tidur di mana? Jangan bagi alasan awak berada di butik sebab tengah malam tadi saya ke sana awak tak ada. Dan pekerja awak beritahu semalam seharian awak tidak muncul di butik?” soal Rahim.

“Aku punya sukalah aku ke mana. Aku sibuk layan pelanggan dan nak bantu kau tambah duit. Jangan bising boleh tak?” jawab Zaleha meninggikan suara.

Belum sempat Zaleha melangkah ke depan, Rahim menampar wajah wanita yang disayangi itu.

“Tak perlu berdrama, aku tahu kau ke hotel bersama kekasih gelap kau kan! Aku tak sangka perempuan yang aku sanjung selama ini dan ibu kepada anak-anak aku sanggup melakukan perbuatan terkutuk. Mulai sekarang aku nak kau keluar dari rumah ini, keluarlah ke mana kau mahu. Sebabnya aku dah kumpulkan segala bukti kecurangan yang kau lakukan selama ini. Kau jangan ingat aku berdiam diri, maknanya aku bodoh,” bentak Rahim.Terkejut dengan kenyataan yang diberikan Rahim, Zaleha terus meraung dan meminta maaf kepada suaminya. Dia tidak berniat mahu melakukan kerja terkutuk itu. Namun selepas mengenali Datuk Alias, Zaleha terus berubah hati. Pelbagai janji manis yang diberikan ahli korporat itu kepada Zaleha. Dia tidak berniat terlanjur dengan lelaki itu, namun dia telah dianiaya, selepas minumannya diletakkan ubat tidur oleh Datuk Alias. Keesokan paginya barulah dia tersedar dia berada di atas katil bersama lelaki tidak guna itu.

Puas merayu, namun Rahim tidak mendengar rintihan Zaleha. Malah Rahim juga menjelaskan dia sudah bosan dengan ego dan lagak Zaleha yang selama ini seolah-olah beranggapan dirinya sebagai seorang lelaki tunggul.

“Ya, Aku maafkan tapi aku tak boleh terima engkau kembali. Cuma aku berdoa kau akan berubah menjadi orang yang lebih baik. Wang tidak menjanjikan kebahagiaan,” luah Rahim yang hatinya cukup hancur atas perbuatan hina isterinya itu.



No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.