Header Ads

Tolonglah Berubah Wahai Hijab*tch, Jangan Cemarkan Martabat Wanita!




Nama aku Munni. Aku suka nama tu sebab watak Munni/Shahida dalam Bajraangi Bhaijan. Sekarang aku sedang sambung Master di sebuah universiti tempatan. Aku bermula daripada sijil jadi tempoh pengajian aku memang lama dan aku telah berdepan dengan macam-macam ragam manusia.

Aku juga seperti orang lain. Pakai tudung tapi dada terjojol. Baju singkat, seluar ketat. Tapi perlahan-lahan aku berubah. Bukan hanya dari segi berpakaian, tapi dari segala segi. Sebab? Aku terkesan dengan kisah Allahyarham Ahmad Ammar yang semasa hayatnya diisi dengan kerja-kerja bermanfaat dan kepergiannya juga menghidupkan jiwa-jiwa yang lain. Ya. Kematian yang menghidupkan.

Selain itu aku juga terkesan dengan perubahan Kak Fel (Fellina Butik), Diana Amir, MizzNina dan ramai lagi. Berpakaian mengikut syariat. Dan itu yang ingin kutekankan di sini. Sebagai seorang pelajar, aku malu dengan cara rakan-rakanku berpakaian. Apabila mereka berjalan, membuat perbentangan di hadapan kelas. Aduh. Aku yakin. Mata lelaki yang mungkin imannya setipis kulit bawang pasti meneroka setiap inci tubuh mereka dan bermulalah imaginasi tanpa henti.

Aku ambil kesempatan untuk sentuh soal hijabista sikit. Sekitar dua tahun lepas, fesyen tudung Keknis menjadi viral. Ala, fesyen yang lilit tengkuk tanpa letak pin (ada juga yang letak pin). Yang tutup bahagian depan, tapi tak sepenuhnya dan bahagian belakangnya singkat ( kadang-kadang nampak leher dan bentuk tali bra). Jujur aku rimas dengan fesyen hijabista sebegini. Dan tahun lepas, bawal pucci pula menjadi tarikan. Yang tak sedap mata memandang bila tudung itu dililit dileher sehingga menampakkan dada. Yang jadi lagi sakit mata memandang bila mengenangkan si pemakai dulunya elok bertudung bawal ala-ala silang biasa berubah kepada pucci ala-ala tercekik leher itu. Kemudian berseluar ketat yang aku sendiri keliru itu seluar jeans atau legging sebab lebih kurang saja rupanya. Ikut trend katanya.

Berubahlah. Aku mewakili kaum wanita yang lain merayu sangat-sangat kepada hijabista tak kira pelajar, model, selebriti, makcik-makcik, berpakaianlah mengikut syariat. Sudah ramai yang menggelar hijabista zaman sekarang sebagai hijabitch dan telinga aku panas bila mendengar. Jangan rendahkan martabat dan maruah kaum wanita. Tolong. Aku merayu.

Maafkan aku andai coretan ini membuat hati kalian sakit, sentap atau apa sahaja. Semoga ianya menjentik hati seorang, sepuluh orang, atau berpuluh-puluh orang atau mungkin lebih daripada itu untuk melakukan perubahan. Aamiin 



No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.