Header Ads

Menyamar Jadi "Misi" Rompak Warga Emas Dengan Suntik Cecair Misteri




Dalam dunia serba maju, ilmu pengetahuan semakin meningkat, ada pula pihak mengambil kesempatan menggunakan kelebihan itu untuk tujuan kepentingan diri.

Begitu juga dengan seorang warga emas apabila barang kemasnya dilarikan dua wanita menyamar sebagai jururawat di Kampung Parit Selamat, Yong Peng, Batu Pahat, sekali gus menyebabkannya kerugian sebanyak RM25,000 pada Jumaat lalu.

Memetik Berita Harian, suspek didakwa menyuntik mangsa dengan cecair misteri menyebabkan Zabaidah Aspan, 63, 'khayal'.

Dakwanya, dia didatangi dua wanita yang mengaku sebagai jururawat dari Klinik Kesihatan Batu Pahat, ingin membuat pemeriksaan berikutan penyakit kencing manis dihidapinya.

Zabaidah tidak mengesyaki apa-apa kerana mereka berpakaian seragam jururawat dan mendakwa pemeriksaan kesihatan ke rumah dibuat bagi kemudahan warga tua supaya tidak perlu beratur atau menunggu lama.

"Saya simpan barang kemas di dalam laci berhampiran selepas diminta menanggalkan barang kemas dan pakaian sebelum pemeriksaan lengkap. 

"Saya diminta meniarap dan dua wanita itu memaklumkan akan memberi dua suntikan ubat kolestrol, kencing manis dan darah tinggi di leher serta belakang. 

"Tidak lama selepas itu, saya mulai khayal dan seorang daripada mereka sempat melakukan bekam di belakang badan saya. 

"Rakannya memberitahu mahu mengambil peralatan dan tidak lama selepas itu, seorang lagi wanita turut keluar. 

"Apabila mereka tidak muncul selepas lima minit, saya bangun dan meninjau keluar sebelum mendapati kereta mereka tiada.

"Dalam keadaan separuh sedar, saya memeriksa laci dan mendapati semua barang kemas sudah lesap," katanya

Zabaidah dan suami melaporkan kejadian di Balai Polis Yong Peng pada hari sama.

Selepas membuat pemeriksaan kesihatan berikutan disuntik cecair misteri berkenaan, kesan suntikan itu masih bengkak sehingga hari ini.


No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.